Sunday 16 June 2013

Pintu Gerbang Ukiran Antik Untuk Dijual

Harga setiap pintu gerbang adalah RM37,600 termasuk dengan kos penghantaran.Ukiran yang ada melambangkan jenis-jenis keistimewaan dan nilai-nilai estetika yang ada disetiap ukiran dan setiap ukiran adalah berlainan.Sesuai untuk jadikan hiasan ditaman atau pintu utama.Pintu berada dalam keadaan sangat baik dan dijamin puas hati.

keris antik untuk dijual

harga keris panjang tiada lok dijual dalam harga RM2500,keris yang mempunyai lok harga RM2300,sesuai untuk disimpan dan upacara tertentu.Usia keris hampir 150 tahun,masih cantik dan baik.

Sunday 16 October 2011

MANA MAK?????

Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, “Mana Mak?”
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, “Mana Mak?”
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya “Mana Mak?” apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.
Mereka akan tanya, “Mana Mak.” Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya ‘Mana Mak?”
Semakin anak-anak Mak besar, soalan “Mana Mak?” semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, “Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni.”
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.
Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, “Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat.”
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
“Mana Along?” , “Mana Angah?”, “Mana Ateh?”, “Mana Alang?”, “Mana Kak Cik?” atau “Mana Adik?”. Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, “Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , “Mana mak?” “
Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, “Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal.”
“Ayah, ayah….bangun.” Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, “Mana Mak?”
Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan “Mana Mak?” masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

Wednesday 12 October 2011

kisah adolf hitler(nazi leader)


Kisah Adolf Hitler!

Adolf Hitler (20 April 1889 - 30 April 1945) adalah seorang perancang yang pintar, pemidato yang hebat dan seorang tokoh politik yang telah menjadi idola di Jerman antara akhir 1920-an dan 1940-an. Beliau terlibat dalam Perang Dunia I tetapi memain peranan penting dalam Perang Dunia II. Beliau terkenal sebagai orang yang berjaya menyatukan penduduk berbahasa Jerman walaupun akhirnya negara itu berpecah kepada dua bahagian iaitu Jerman Timur dan Barat. Kini beliau dilabel oleh kebanyakan orang Barat sebagai orang yang kejam, bengis dan diktator yang gila kuasa.

Pada 6:30 petang 20 April, 1889, beliau telah dilahirkan disebuah perkampungan kecil Braunau Am Inn, Austria berhampiran dengan sempadan Jerman di Bavaria.
Bapanya, Alois Hitler seorang pegawai kastam telah berkahwin sebanyak dua kali sebelum mengahwini ibu Hitler, iaitu Klara Pölzl. Sebelum melahirkan beliau, ibunya telah melahirkan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. Malangnya, ketiga-tiga anaknya mati pada usia yang muda. Oleh itu, apabila beliau dilahirkan, ibunya telah memanjakannya bagai 'menatang minyak yang penuh'.

Hitler (panggilan manja 'Adi') semasa bayi
Pada usia enam tahun, beliau masuk gred pertama di sebuah sekolah awam di Fischlham berhampiran Linz, Austria. Pada tahun yang sama bapanya telah bersara dan dari situ bermulanya zaman kesusahan bagi keluarga Hitler. Bapanya yang biasa dengan disiplin di tempat kerjanya telah cuba untuk mengamalkannya di rumah. Abang angkatnya, Alois Jr., sering dipukul oleh bapanya dan pada umur 14 tahun, dia telah lari dari rumah. Akibatnya, Hitler pula telah menjadi mangsa kezaliman bapanya.
Sewaktu di sekolah rendah beliau telah menunjukkan bakatnya dalam beberapa bidang seperti lukisan dan nyanyian. Malah sewaktu belajar di sebuah sekolah Katolik, beliau pernah menyertai kumpulan koir di situ di mana beliau dipuji kerana suaranya yang merdu. Di samping itu, beliau amat meminati seni reka bangunan dan mampu melakarkan semula sebuah bangunan hanya dengan menggunakan ingatannya. Kegemarannya yang lain ialah membaca buku terutamanya kisah koboi dan Indian dari Amerika Syarikat dan juga kisah perang yang melibatkan Empayar Jerman yang lampau. Namun demikian, beliau sangat lemah dalam mata pelajaran matematik dan juga bahasa.
Oleh itu sebelum melangkah kesekolah menengah, beliau ingin masuk kesekolah berjurusan klasik di mana beliau boleh belajar lebih mendalam tentang lukisan. Namun bapanya membantah, dan mahukan anaknya masuk kesekolah teknik dan menjadi seorang pegawai kerajaan. Oleh itu, Hitler terpaksa akur dengan kehendak bapanya dan memasuk kesekolah teknik. Tetapi beliau sering berselisih dengan bapanya sehinggalah bapanya meninggal dunia secara tiba-tiba pada Januari 1903 akibat pendarahan paru-paru.

Selepas bapanya meninggal dunia, Hitler menjadi seperti "layang-layang terputus tali". Beliau melakukan apa sahaja yang disukainya tanpa menghiraukan orang lain. Grednya semakin menurun dan beliau sering melakukan perkara yang nakal di sekolah dan menentang autoriti guru-gurunya. Semasa di sekolah, beliau hanya meminati dua subjek iaitu sejarah dan lukisan. Beliau amat mengkagumi guru sejarahnya, Dr. Leopold Pötsch, yang suka menceritakan tentang perwira-perwira Jerman yang lampau. Pada usia awal remaja beliau amat meminati nasionalisme Jerman dan lukisan serta seni reka.
Sewaktu berusia 15 tahun beliau diserang pendarahan paru-paru suatu penyakit turun temurun dan setahun kemudian meninggalkan alam persekolahan atas alasan kesihatan. Selepas itu beliau membuang masanya berjalan disekitar bandar raya Linz, Austria, melawati muzium, opera, dan duduk ditebing Sungai Danube sambil bermimpi menjadi seorang pelukis yang terkenal.
Pada usia 17 tahun beliau melawat ibu negara Austria iaitu Vienna. Beliau amat kagum dengan keindahan seni reka bangunan disana seperti opera house dan bangunan Parlimen serta bangunan disekitar Ring Boulevard. Justeru itu, beliau mengambil keputusan untuk mendaftar di "Vienna Academy of Fine Arts" sebuah sekolah kesenian yang berprestij. Setahun kemudian beliau mengeluarkan wang harta pusakanya untuk tinggal dan belajar di Vienna. Pada masa ini ibunya semakin tenat akibat penyakit barah payudara. Namun cita-cita beliau yang tinggi untuk menjadi seorang pelukis terkemuka telah membuat beliau meninggalkan ibunya sendiri. Walaupun begitu cita-cita beliau musnah apabila gagal dalam peperiksaan kemasukan akademi tersebut. Malah beliau telah gagal peperiksaan ini sebanyak dua kali dan tidak berjaya memasuki akademi yang berprestij ini. Kesedihan ini bertambah apabila ibunya meninggal dunia pada Disember 1907.
Selepas kematian ibunya, Hitler masih mencuba nasibnya di Vienna. Dengan gaya hidupnya yang mewah, pendapatan Hitler semakin menurun dan akhirnya beliau terpaksa tidur di bangku taman parkbenches dan bergantung pada derma daripada orang ramai. Kehidupannya yang sengsara ini telah menjadikannya berhati keras dan mempunyai mentaliti untuk terus hidup (survival) dan tiada ruang untuk belas kasihan.
Pada usia 21 tahun beliau mendapat mata pencariannya melalui penjualan gambar-gambar bangunan yang disalin dari poskad. Selain itu beliau mula membaca buku-buku falsafah dari penulis seperti Nietzsche, Hegel, Fichte, Treitschke dan Houston Stewart Chamberlain.
Penyertaan dalam Perang Dunia I
Penyertaan Jerman di dalam Perang Dunia I merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh Hitler. Beliau dengan penuh semangat telah menyertai pasukan tenteranya untuk berjuang menentang musuh negara. Tugasnya yang pertama ialah sebagai penghantar perutusan dalam pasukan Infantri Regimen Bavaria ke 16. Beliau terkenal oleh sahabat-handainya sebagai seorang yang licik dan selalu terlepas dari maut. Oleh sebab keberaniannya, beliau telah dianugerahkan beberapa pingat termasuklah pingat berprestij iaitu "Iron Cross". Tujuan utama Hitler menyertai peperangan ini ialah untuk bersama pasukan tentera yang akan menemui kemenangan yang gemilang. Malangnya, yang sebalik telah berlaku dan Jerman terpaksa mengaku kalah kepada Perancis dan konconya. Jerman telah dihina apabila mereka dipaksa membayar sejumlah wang yang besar kepada negara Perancis. Ramai rakyat Jerman merasa dikhianati oleh kerajaan sendiri yang mereka anggap telah menikam Jerman dari belakang dan ini termasuklah Hitler sendiri. Beliau amat kecewa kerana negara Jerman yang beliau sanjungi terpaksa tunduk kepada kuasa lain terutamanya musuh ketat mereka iaitu Perancis. (Sila lihat Perjanjian Versailles) Ketika perletakan senjata 'Armistice' ditandatangani pada 11 November 1918, Hitler sedang dirawat di hospital. Ketika itu beliau memangku jawatan sebagai lans-kopral.
Pembabitan Hitler awal dalam politik

Selepas Perang Dunia I berakhir, Hitler telah ditempatkan di Munich, ibunegeri Bavaria. Pada ketika itu Bavaria berada dalam keadaan revolusi. Kurt Eisner, pemimpin parti Sosialis Bebas Independent Socialist Party, telah mengisytiharkan Bavaria sebagai sebuah republik sosialis. Akibatnya pada Mei, 1919 Tentera Jerman telah memasuki Munich dan menumpaskan kerajaan sosialis tersebut. Hitler sendiri telah ditahan kerana disyaki sebagai seorang berfahaman sosialis. Namun beliau dibebaskan setelah bersetuju untuk membantu mereka mengenal pasti tentera yang menyokong kerajaan revolusi pimpinan Kurt Eisner. Beliau kemudiannya, diberi tugasan yang baru iaitu sebagai perisik gerakan revolusi di Munich.
Pada September 1919, beliau diarahkan untuk menghadiri mesyuarat German Worker's Party (GWP). Pihak tentera bimbang parti baru ini yang diterajui Anton Drexler, cenderung ke arah revolusi komunis. Sewaktu menghadiri mesyuarat ini beliau bersetuju dengan misi parti ini iaitu kearah nasionalisme Jerman dan anti-Semitisme. Walaupun beliau hadir sebagai seorang perisik, beliau tidak dapat menahan dirinya daripada memberi ucapan yang berkobar-kobar. Drexler amat tertarik dengan karisma Hitler sewaktu berpidato dan kemudiannya menjemput beliau menyertai parti ini.
Sewaktu Hitler menyertai parti GWP, keahliannya amatlah sedikit iaitu hanya seramai 46 orang. Namun beliau tidak berputus asa dan menggunakannya keahliannya sebagai medan latihan untuk memperbaiki kemahiran berpidatonya. Lama kelamaan beliau telah digilap menjadi bintang yang bersinar dan kebolehannya untuk berpidato telah menarik ramai orang untuk menyertai parti tersebut. Hitler kemudiannya terus berkecimpung dalam arena politik. Antara lain beliau telah membawa masuk beberapa kawan tenteranya termasuk Kaptan Ernst Roehm. Kemasukan Roehm amat bermakna kepada parti yang baru ini, kerana dia mempunyai akses kepada tabung tentera dan wang ini telah disalurkan kepada parti tersebut. Hitler kemudiannya diberi tugas menguruskan jentera propaganda parti pekerja ini dan beliau kemudiannya menukar nama Parti Pekerja German kepada Nationalist Socialist German Workers Party (NSDAP) ataupun parti Nazi.
Pada Februari 1920, parti NSDAP telah mencetak programnya yang pertama dipanggil "25 Points" (25 perkara). Antara lain, program ini telah menolak syarat-syarat Perjanjian Versailles dan menyeru rakyat Jerman untuk bersatu. Program ini telah memperkukuhkan ideologi nasionalisme, dengan memberi hak saksama kepada rakyat Jerman sahaja dan bukannya orang luar atau orang asing. Pada 24 Februari 1920, sebuah perjumpaan besar-besaran telah diadakan untuk mengumum program ini kepada rakyat jelata dan ia dihadiri oleh seramai 2,000 orang. Hitler sedar kejayaan parti Nazi adalah atas daya usahanya sendiri dan Drexler terpaksa meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Hitler.
Pada awal penubuhannya, gerakan parti ini terbatas di Munich iaitu ibunegeri Bavaria. Pada 1923, ekonomi Jerman telah dilanda krisis apabila pekerja di Ruhr telah mengadakan mogok. Mogok ini berlaku kerana tentera Perancis telah menduduki wilayah tersebut setelah kerajaan Jerman gagal membayar pampasan perang mereka kepada Perancis. Pada 13 Ogos Canselor Jerman yang baru, Gustav Stresemann bersetuju untuk kembali membayar wang pampasan kepada Perancis dan ini mencetuskan kemarahan rakyat Jerman. Hitler menganggap peristiwa ini sebagai suatu kesempatan untuk menumbangkan kerajaan Bavaria dan juga kerajaan demokratik Jerman. Walaupun begitu, revolusinya yang dikenali sebagai "Beer Hall Putsch" telah digagalkan. Pemberontakan selama dua hari ini telah ditumpaskan oleh pihak berkuasa Munich dan beberapa ahli Nazi telah terbunuh. Hitler dan para penasihatnya telah disabitkan dengan kesalahan dan dipenjarakan atas tuduhan khianat. Pada waktu ini karier politik Hitler telah berakhir selama beberapa tahun.
Kebangkitan Hitler sebagai Fuhrer parti Nazi

Hitler dibebaskan dari penjara pada 20 Disember, 1924. Jerman pada waktu itu sedang mengalami pemulihan ekonomi dan rakyatnya mula yakin kembali dengan sistem demokratik negara. Antara 1924 hingga 1929, partinya mengalami zaman yang malap. Sewaktu pilihan raya 1924 dan 1928, parti NSDAP memenangi kerusi yang sedikit di Reichstag iaitu kurang daripada 20 kerusi. Pada waktu ini, beberapa orang penting telah menyertai parti NSDAP iaitu Joseph Goebbels dan Heinrich Himmler. Mereka kemudiannya menjadi penyokong Hitler yang paling berpengaruh semasa beliau memimpin negara Jerman.
Walaupun begitu nasib mula menyebelahi Hitler pada 1929, apabila Amerika Syarikat dilanda Kemelesatan Besar akibat kejatuhan di Wall Street. Pada akhir 1930, hampir 4 juta rakyat Jerman telah menjadi penganggur. Sokongan kepada parti NSDAP semakin melonjak. Pada tahun 1929 parti NSDAP memenangi undi majoriti dalam pengundian bandar Coburg, dan kemudiannya memenangi pengundian daerah Thuringia. Akhirnya pada pilihan raya umum September 1930, parti pimpinan Hitler telah menambahkan kerusinya dari 14 ke 107, menjadikannya parti kedua terbesar di Reichstag.
Pada 1932, parti NSDAP telah menjadi parti terbesar di Reichstag, namun parti beliau disekat oleh parti lain seperti parti Jerman Sosial Demokrat dan parti Komunis Jerman. Sebelum ini, beliau telah berulang kali meminta Presiden Paul von Hindenburg untuk menjadi Canselor tetapi telah menemui kegagalan. Akhirnya beliau telah hilang sabar dengan demokrasi dan melancarkan keganasan terhadap penyokong sosialisme dan komunisme. Ramai penyokong parti telah dibunuh dan beberapa ahli parti Nazi telah dipenjarakan. Akibatnya, ramai rakyat Jerman menolak Nazi yang dianggap sebagai parti samseng dan pada pilihan raya 1932, sokongan parti ini telah menurun. Manakala, parti komunis pula telah mendapat sokongan padu dan telah berjaya menambah bilangan kerusi di Parlimen sebanyak 100 kerusi.
Walaupun begitu, Hitler telah menggunakan kemenangan parti komunis sebagai suatu kesempatan untuk mencetus huru-hara. Beliau dengan jentera propagandanya telah berusaha menakutkan rakyat jelata dengan menyebarkan berita kononnya kebangkitan Bolshevik akan berlaku dan hanya NSDAP mampu membendungnya. Beberapa ahli perniagaan terkenal yang risau dengan revolusi tersebut telah merayu kepada Paul von Hindenburg supaya Hitler dilantik sebagai Canselor. Hindenberg akhirnya terpaksa akur dengan desakan mereka dan melantik Hitler yang berusia 43 tahun sebagai Perdana Menteri 'Chancellor' Jerman.
Jerman dibawah kerajaan "Third Reich"

Selepas pilihan raya 1932, Hitler mencadangkan Rang Undang-Undang Enabling Bill yang memberi kuasa diktator kepadanya. Rang Undang-Undang tersebut memerlukan tiga perempat undi Reichstag dan partinya hanya mempunyai satu pertiga kerusi. Walaupun begitu, sebahagian besar wakil parti komunis telah dimasukkan ke kem tahanan. Hitler hanya memerlukan sokongan Catholic Centre Party (BVP) untuk meluluskan akta ini. Hitler kemudiannya berjumpa dengan perwakilan parti ini dan menjamin hak saksama untuk gereja Katolik. Akhirnya parti Nazi berjaya mendapat sokongan parti BVP dan akta ini diluluskan.
Langkahnya yang pertama ialah mengambilalih persatuan sekerja. Selepas itu parti komunis dan Sosial Demokrat telah diharamkan. Ini disusuli pula parti lain termasuk Catholic Centre Party, Nationalist Party dan parti-parti lain selain NSDAP telah diisytiharkan sebagai parti haram, dan pada akhir 1933 terdapat lebih 150,000 tahanan politik dihantar ke kem tahanan. Joseph Goebbels telah dilantik sebagai Menteri Propaganda dan sentiasa memantau maklumat yang disebarkan melalui semua suratkhabar, majalah-majalah, buku-buku, radio dan sebagainya. Manakala Goering, yang merupakan Menteri Dalam Negeri telah membuang pegawai-pegawai tinggi polis dan menggantikannya dengan penyokong Nazi. Mereka ini kemudiannya dipanggil Gestapo.
Pada awal pemerintahan Hitler, sebagai seorang yang gila kuasa beliau sentiasa bimbang dengan perebutan kuasa dalam partinya sendiri. Oleh yang demikian beliau telah melaksanakan sistem pecah dan perintah divide and rule bersama pegawai-pegawainya yang berpengaruh seperti Goebbels, Roehms dan Goering. Antara mereka bertiga, Roehms merupakan orang yang paling dicemburui kerana mengetuai pasukan SA yang besar dan berkuasa. Oleh itu, beliau telah dituduh sebagai seorang homoseks oleh musuh-musuhnya. Walaupun, Hitler pada mulanya tidak mempercayai cerita ini tetapi beliau mempercayainya apabila melihat dengan sendiri pegawai yang digemarinya itu melakukan hubungan homoseks dengan pegawai bawahannya.
Pada malam yang dikenali sebagai Malam Pisau Panjang "The Night of the Long Knives" Hitler membunuh semua penentangnya termasuk Roehms dalam parti Nazi. Hitler juga menyalahkan Komunis dan Yahudi atas kelembapan ekonomi dan berjaya meraih sokongan angkatan tentera dengan melaksanakan polisi melengkapkan peralatan senjata Jerman.
Namun demikian, banyak kejayaan telah berlaku sewaktu beliau berkuasa di Jerman. Antara lain, Jerman merupakan negara Eropah pertama yang pulih sepenuhnya daripada Kemelesetan Besar yang melanda ekonomi dunia. Kadar pengangguran telah dikurangkan apabila kaum wanita digalakkan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah, lantas memberi laluan kepada kaum lelaki untuk mendapat kerja yang baru. Disamping itu, beliau telah memulakan industri automatif secara besar-besaran di Jerman dengan pembuatan kereta Volkswagen (yang bermaksud "kereta rakyat" dalam bahasa Jerman) dan juga membangunkan sistem lebuhraya autobahn di sana.
Bermulanya Perang Dunia II

Pada September 1939, Hitler menyerang Poland dengan serangan taktik blitzkrieg (serangan darat, udara secara besar-besaran dan mengejut) mencapai kejayaan yang memeranjatkan musuh dan jeneralnya sendiri. Serangan terhadap Poland bagaimanapun menyebabkan musuh-musuhnya kini bertindak balas dan pihak British dan Perancis mengumumkan perang terhadap Jerman, dengan itu memulakan Perang Dunia II.
Ketika berlakunya Peperangan Dunia II, pihak British dipimpin oleh Sir Winston Churchill.
Setelah lama berperang dan setelah mengalami kekalahan di setiap medan pertempuran, Hitler menyedari bahawa kekalahan sudah tidak dapat dielakkan. Hitler kemudiannya mengahwini wanita simpanannya Eva Braun, dan kemudiannya membunuh diri bersama-sama pada 30 April 1945. Mayatnya dibakar untuk mengelak daripada jatuh ke tangan musuh.